Monday, 27 October 2014

JENAMA BONDA


Rempah Bonda merupakan jenama produk yang bondaku keluarkan. Ianya adalah ramuan rempah masakan melayu yang diramukan secara tradisional dari bahan rempah yang terpilih. Dari segi latar belakang, bonda tidak pernah bekerja dengan mana-mana kilang rempah sebelum ini. Namun ilmu menghasilkan satu-satu citarasa terhasil dari pengamatan dan minatnya yang mendalam dalm bidang perushaan ini. Buat masa ini, ayahanda lah yang banyak memberi tumpuan masa dan keringatnya, siang malam, tanpa ada rasa jemu dan berputus asa.



Inilah kilang kecil ayahanda bonda yang masih terdapat pada bahagian dalam rumah.


Kilang kecil ini telah beroperasi sejak 10 tahun yang lalu. Tidak banyak pembangunan fizikal yang dapat dilakukan dek kerana kekangan modal dan pada masa yang sama masa terbahagi dua iaitu untuk menjaga bonda yang sakit. Setelah selesai menguruskan bonda, ayahanda akan ke kilang kecil ini sehingga lewat malam untuk menyiapkan tempahan dan stok untuk jualan sebelum hari yang berikutnya.

Rangkaian produk Bonda adalah seperti kacang tumbuk, rempah sup, rempah soto, lemping pisang, lemping kelapa, sambal pecal dan sambal kicap cili padi. Produk yang paling tinggi jualannya pada musim perayaan adalah kacang tumbuk. Pada tempahan raya yang lalu, kilang ini mampu menampung 200 kilo kacang tumbuk pada satu-satu masa. Potensi produk ini ketika bulan puasa dan hari raya tidak dapat dinafikan. Produk lain yang juga mendapat sambutan yang paling laris ialah produk sambal pecal dan rempah sup.



Sebahagian produk keluaran syarikat Rempah Bonda


Secara peribadi, aku sememangnya kagum dengan ilmu keusahawanan yang ada pada kedua-dua ayah bonda. Allah mengurniakan kepada mereka kepandaian meramukan rempah dan menghasilkan base masakan citarasa tersendiri yang sudah ada peminatnya. Kalau ingin dicari buku catatan tentang segala ramuan ini, tidak pernah pula aku terjumpa di mana-mana di dalam rumah bonda.


Buat masa ini, harapan untuk menyambung usaha ini telah menjadi tanggungjawab aku. Abang dan adik, masing-masing telah mewarisi kepakaran bonda dalam bidang yang lain. Mahu tidak mahu, aku perlu menyinsing lengan, merealisasikan impian bonda yang baru sahaja bermula. Ketika menulis blog ini, aku sudah lebih 6 bulan berhenti kerja dan segala masa ku saban hari (selain sibuk dengan anak-anak dan tugasan kuliah) aku akan menjual produk barangan keluaran kami mengikut strategi pemasaran yang telah aku rancangkan. Dari segi pengetahuan meramukan setiap produk, aku baru sahaja dapat mempelajari cara mencampurkan rempah untuk sup, premix lemping pisang dan kelapa. Banyak lagi yang baru dirancang tetapi belum lagi dapat dilaksana.





Saturday, 25 October 2014

Sebuah Hasrat

Masa Berlalu


Masa berlalu begitu pantas. Walaupun ketika dia disahkan oleh doktor yang buah pinggangnya tidak lagi boleh berfungi, bonda, ku lihat seperti mendapat satu sebab baru mengapa dia perlu terus bekerja dan berusaha dengan gigih. Berusaha untuk nampak sihat dan juga berusaha untuk memenuhi perbelanjaan hariannya seperti ubat-ubatan dan sebagainya. She have survived with the sickness for nearly 9 years. Dan begitu jugalah pengorbanan seorang ayahanda yang menjaga dan menemani bonda siang malam, tak mungkin sekali-kali dapat ku balas.



Rumah Bonda. Kini aku sekeluarga mendiami rumah ini menemani ayahanda yang tinggal seorang. 




Di Manakah Aku?


Waktu itu aku bertugas sebagai Pengurus Promosi di ibu pejabat, Tesco Malaysia. Aku bekerja di Kuala Lumpur dan sudah tentu aku dan keluargaku tinggal di ibu kota - rumah pusaka keluarga .

Bekerja di syarikat swasta sememangnya menuntut masa lebih sekiranya ingin berjaya. Kejayaan yang aku maksudkan adalah kejayaan karier. Gaji yang agak lumayan menjadikan aku rela menghambakan diri dan meminggirkan usaha bonda di kampung waktu itu. Walaubagaimanapun aku tidak lupa tanggungjawab wang saku untuk bonda dan ayahanda. Mereka tidak pernah meminta, tetapi sebagai seorang anak yang punya gaji tetap sanggupkah aku melihat mereka perlu lagi bekerja?


Selaku Promotion Manager, tugasku bukan sahaja bergelumang dengan kertas kerja di pejabat malah terpaksa ke setiap store di seluruh Malaysia dalam masa tertentu bagi memastikan setiap promotion yang aku rancang
dilaksana mengikut planning.


Ingatan Buat Diri


Kadang kala, kita sebagai anak selalu berkata yang mereka tidak perlu lagi bekerja dan hanya perlu duduk sahaja. Kata-kata itu tidak tepat. Di usia emas, masa yang terluang selain beribadat, menjaga kesihatan, jika tidak ada apa yang dibuat, mereka akan rasa sunyi. Oleh itu, kerja-kerja seperti perusahaan kecil-kecilan inilah sebagai teman sejati mereka. Hasil duit sawit pula dapat dibelanjakan untuk anak cucu dan tidaklah mereka meminta-minta. Ingat tak sewaktu kita ingin hasrat kita dipenuhi ayah bonda? Apa yang kita mahukan adalah galakan dan doa mereka. Begitu jugalah mereka. Pada tahap mereka di usia emas, selain bantuan yang boleh kita mampu berikan, galakan dan doa. Kata-kata anak-anak adalah hiburan buat mereka.

Bondaku meninggalkan 4 orang anak. Aku adalah yang kedua. Pada hakikatnya, semuanya berjaya di lapangan masing-masing. Namun bukanlah doktor atau ahli falsafah. Dari air tangangnya, ke empat-empat kami telah disemai dari kecil untuk berdikari. Berdikari dari segi menguruskan diri sebelum ke sekolah. Berdikari dari segi pengurusan wang saku. Juga berdikari dari segi ingin berjaya dalam bidang yang diminati. Dan apabila kami dewasa, kami dididik untuk melihat masa depan sebagai seorang usahawanan walaupun pada hakikatnya kami masih lagi tidak mengerti, mengapa perlu menjadi seorang usahawan bila gaji sudah tetap.


Thursday, 23 October 2014

BONDAku

AL-Fatihah


Hari ini semangat untuk menulis sebuah blog khas untuk seorang wanita yang aku sapa bonda, tiba-tiba sahaja datang. Berkecamuk juga CPU di kepalaku apabila cuba meyingkap kembali memori lama bersama bonda tersayang. Namun, sebelum aku terus rancak bercerita tentang bonda, marilah sedekahkan bacaan Al-Fatihah buat bondaku yang telah kembali kepada yang Maha Pencipta pada 2 Mei 2014 yang lalu. Semoga arwah bonda ditempatkan bersama-sama dengan para solihin dan semoga Allah memberi syurga kepada bonda. Amin.

Aku dan Bonda kali terakhir bergambar bersama.

Bukan Blog Masakan


Blog penceritaan tentang bondaku ini bukanlah blog syarikat dan bukan juga sebuah blog masakan resepi rempah ratus bondaku di dapur. Akan tetapi merupakan penceritaan sebuah perjuangan seorang bonda yang sangat kuat semangat juangnya demi untuk sebuah kehidupan yang diredhai Allah. Sekitar kehidupannya, bonda hanya memikirkan untuk memajukan dirinya sebagai seorang melayu yang bermaruah. Jati dirinya sangat kebal. Idola politiknya ialah seperti Datuk Aisyah Ghani. Biduwanita yang diminati adalah Allahyarham Datuk Syarifah Aini. Jati dirinya seakan jati diri seorang tok guru silat, boleh diumpamakan bonda sekali-kali tidak akan gentar dengan hunusan keris yang ingin menembusi dadanya. Sungguh luar biasa semangatnya.



Asal Bondaku


Bondaku dilahirkan di Alor Setar, Kedah. Semasa kecil, bonda dan keluarganya telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Bondaku tidaklah berpendidikan tinggi namun dia mempunyai minat mendalam dalam bidang penulisan dan kewartawanan. Dia kemudian berkahwin dengan ayahanda ku yang pada waktu itu bekerja sebagai pelukis pelan di sebuah firma. Mereka adalah rakan sekerja, jatuh cinta dan kemudian mendirikan rumah tangga.

Sekitar tahun 70an, kehidupan bagi sebuah keluarga melayu masih pada tahap sukar. Kemiskinan masih pada tahap tegar. Peluang pekerjaan tidak banyak. Apatah lagi peluang untuk melanjutkan pelajaran. Bonda akhirnya berpeluang untuk bekerja sebagai seorang wartawan. Pendapatan tidak lah selumayan sekarang. Berpatutan dengan kos sara hidup pada waktu itu. Di samping bekerja sebagai wartawan, bondaku menulis untuk sebuah surat khabar pelbagai prosa melayu. Dari sajak hinggalah kepada pelbagai kisah hidup masyarakat dalam bentuk cerpen. Pada ketika itu, pembaca akhbar Utusan Melayu yang mana meminati ruangan sastera, cerpen-cerpen masyarakat dari nama pena 'Sri Kandi' sering kali dinanti-nanti.