Thursday, 23 October 2014

BONDAku

AL-Fatihah


Hari ini semangat untuk menulis sebuah blog khas untuk seorang wanita yang aku sapa bonda, tiba-tiba sahaja datang. Berkecamuk juga CPU di kepalaku apabila cuba meyingkap kembali memori lama bersama bonda tersayang. Namun, sebelum aku terus rancak bercerita tentang bonda, marilah sedekahkan bacaan Al-Fatihah buat bondaku yang telah kembali kepada yang Maha Pencipta pada 2 Mei 2014 yang lalu. Semoga arwah bonda ditempatkan bersama-sama dengan para solihin dan semoga Allah memberi syurga kepada bonda. Amin.

Aku dan Bonda kali terakhir bergambar bersama.

Bukan Blog Masakan


Blog penceritaan tentang bondaku ini bukanlah blog syarikat dan bukan juga sebuah blog masakan resepi rempah ratus bondaku di dapur. Akan tetapi merupakan penceritaan sebuah perjuangan seorang bonda yang sangat kuat semangat juangnya demi untuk sebuah kehidupan yang diredhai Allah. Sekitar kehidupannya, bonda hanya memikirkan untuk memajukan dirinya sebagai seorang melayu yang bermaruah. Jati dirinya sangat kebal. Idola politiknya ialah seperti Datuk Aisyah Ghani. Biduwanita yang diminati adalah Allahyarham Datuk Syarifah Aini. Jati dirinya seakan jati diri seorang tok guru silat, boleh diumpamakan bonda sekali-kali tidak akan gentar dengan hunusan keris yang ingin menembusi dadanya. Sungguh luar biasa semangatnya.



Asal Bondaku


Bondaku dilahirkan di Alor Setar, Kedah. Semasa kecil, bonda dan keluarganya telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Bondaku tidaklah berpendidikan tinggi namun dia mempunyai minat mendalam dalam bidang penulisan dan kewartawanan. Dia kemudian berkahwin dengan ayahanda ku yang pada waktu itu bekerja sebagai pelukis pelan di sebuah firma. Mereka adalah rakan sekerja, jatuh cinta dan kemudian mendirikan rumah tangga.

Sekitar tahun 70an, kehidupan bagi sebuah keluarga melayu masih pada tahap sukar. Kemiskinan masih pada tahap tegar. Peluang pekerjaan tidak banyak. Apatah lagi peluang untuk melanjutkan pelajaran. Bonda akhirnya berpeluang untuk bekerja sebagai seorang wartawan. Pendapatan tidak lah selumayan sekarang. Berpatutan dengan kos sara hidup pada waktu itu. Di samping bekerja sebagai wartawan, bondaku menulis untuk sebuah surat khabar pelbagai prosa melayu. Dari sajak hinggalah kepada pelbagai kisah hidup masyarakat dalam bentuk cerpen. Pada ketika itu, pembaca akhbar Utusan Melayu yang mana meminati ruangan sastera, cerpen-cerpen masyarakat dari nama pena 'Sri Kandi' sering kali dinanti-nanti.










No comments:

Post a Comment